Monday, 28 March 2011

SIHIR



 Takrif Sihir:

Pada Bahasa: Menurut Syeikh al Azhari "sihir ialah satu amalan menghampirkan diri kepada syaitan di samping turut memohon bantuan darinya. Asal sebutan sihir bermaksud memesongkan sesuatu perkara dari hakikat kebenarannya kepada suatu bentuk lain yang boleh mengaburkan pandangan zahir. kerana itu si tukang sihir telah memandang kebatilan itu sebagai kebaikan seterusnya mulalah dia meramalkan sesuatu perkara diluar hakikatnya yang sebenar.Itulah erti pemesongan tersebut."

Pada Istilah: Jampi serapah, tangkal-tangkal, dan simpulan-simpulan tali, yang memberi kesan kepada hati dan badan yang menyebabkan sakit, membunuh, memisahkan antara dua orang (menjadikan persaan benci antara dua yang berkasihan) atau menimbulkan kasih antara yang saling membenci, dan sebagainya.

[rujuk: Taisir al-Azizi al-Hamid,m.s 32


Takrif tepat mengenai sihir: "Sihir ialah persepakatan erat diantara si tukang sihir dengan syaitan laknatullah yang mensyaratkan tukang sihir tersebut agar melakukan perbuatan-perbuatan haram dan syirik, di samping menyerahkan segala bentuk ketaatan kepadanya(syaitan) demi memperoleh bantuan dan pertolongan yang dihajati."
 



Jenis-jenis Sihir:

Pertama: Sihir yang dilakukan dengan jampi serapah, tangkal azimat, dan simpulan-simpulan tali disertai dengan amalan taqarrub kepada jin seperti penyembelihan haiwan tertentu sebagai persembahan kepada syaitan.

Kedua: Sihir yang dilakukan dengan ubat-ubatan, per
asapan dan seumpamanya tanpa disertai dengan amalan taqarrub kepada syaitan .

Pembahagian sihir seperti ini diambil daripada pemerhatian ke atas kalam Imam al-Syafii r.h namun setelah diteliti, ternyata bahagian yang kedua daripada sihir ini bukanlah sihir yang dikehendaki pada syarak namun ianya bersesuaian dengan asal bahasa makna sihir iaitu sesuatu yang tersembunyi sebabnya.

Nabi s.a.w menamakan “al-Bayan” (kata-kata yang berseni) sebagai sihir kerana kata-kata itu boleh memukau pendengarnya dan membuat mereka kagum dan tidak kurang juga terpedaya sehingga yang batil disangka hak dan hak disangka batil.

Nabi s.a.w menamakan al-Namimah (adu domba) sebagai sihir kerana ianya membuat manusia yang berkawan menjadi musuh, yang bercinta menjadi benci, dan yang bersatu menjadi pecah seumpama kesan sihir al-Sarf (pemisah) yang biasa dilakukan untuk mencerai beraikan suami isteri.

Termasuk dalam jenis sihir yang kedua ini adalah amalan silap mata yang menggunakan peralatan dan kepantasan tangan semata-mata tanpa ada unsur-unsur syaitan kerana ia sesuatu yang tersembunyi sebabnya dan kelihatan sesuatu yang mencarik adat walaupun pada hakikatnya tidak.